1.1
Pengenalan Perniagaan
Perniagaan wujud apabila manusia
mengkhususkan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang mereka
berkemahiran dan cekap. Perniagaan banyak memberi faedah kepada manusia kerana
aktiviti-aktiviti perniagaan dapat memenuhi kehendak dan keperluan manusia
dengan menyediakan berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan
sama ada di dalam negara ataupun diimport dari luar negara.
Selain itu, perniagaan juga menjanakan
keuntungan yang menggalakkan manusia berkecimpung dan mengembangkan perniagaan
pulangan kepada pemilik-pemilik yang sanggup menghadapi risiko daripada
pelaburan wang dan masa mereka.
1.1.1 Definisi Perniagaan
“Business
is the distribution and exchange of all the surplus goods produced in the
fields, seas, forests and factories of the earth so that they reach the final
consumer in the right place and at the right price”
Perniagaan merupakan pengagihan dan pertukaran
semua barangan berlebihan yang dihasilkan daripada ladang-ladang, lautan,
hutan-hutan dan kilang-kilang supaya mereka dapat diperoleh oleh pengguna
terakhhir pada tempat dan harga yang berpatutan.
Vincent A. Gabriel
(1995) m.s 5
Perniagaan merupakan semua kegiatan
membeli dan menjual barangan dan perkhidmatan dengan tujuan mendapat
keuntungan.
Teng Yoon Soon, Lok
Chung Hwa dan
Abdullah Munsi b.
Abdul Rahim (1999) m.s 1
Perniagaan adalah pertukaran barang
atau perkhidmatan dengan wang untuk tujuan mendapatkan keuntungan atau sebarang
bentuk faedah.
Zumilah Zainalaludin
(1999) m.s 3
Perniagaan boleh didefinisikan sebagai
pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang atau alat pertukaran lain,
bertujuan untuk mendapat keuntungan atau sebarang bentuk faedah.
Norhayah Zulkifli et.
al (1999) m.s 2
“Business is an organization that
provides goods or services in order to earn profits”
Perniagaan merupakan suatu organisasi
yang membekalkan barangan atau perkhidmatan untuk mendapat keuntungan.
Ronald J. Ebert dan
Ricky W. Griffin (1998) m.s 2
Rumusan
Berdasarkan definisi-definisi yang
dikemukakan di atas, maka perniagaan dapat ditakrifkan sebagai:-
Suatu
usaha untuk mengagih dan menukarkan barangan yang berbentuk barang fizikal atau
perkhidmatan atau kedua-duanya daripada pengeluar asal kepada pengguna terakhir
pada tempat dan harga yang berpatutan. Usaha pemindahan dan pertukaran barangan
ini dijalankan berasaskan alat pertukaran yang telah dipersetujui oleh
pengeluar asal dan pengguna terakhir. Pertukaran sedemikian akan membawa faedah
dan keuntungan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini.
1.1.2 Barangniaga
Ia juga dikenali sebagai produk atau
keluaran. Barangniaga terdiri daripada unit-unit yang dapat dilihat, dihidu,
dirasa dan disentuh secara fizikal seperti baju, keropok, anak patung mainan
dan sebagainya.
1.1.3 Perkhidmatan
Ia merupakan sesuatu keluaran yang
tidak dapat dilihat, dihidu, dirasa dan disentuh secara fizikal. Namun
demikian, kehadirannya akan memenuhi keperluan dan kehendak pembeli atau
penggunanya. Contoh-contoh perkhidmatan adalah perkhidmatan pakar perubatan,
bank, insuran, pendidikan Kolej Matrikulasi dan sebagainya.
1.1.4 Keuntungan
Keuntungan merupakan perbezaan di
antara pendapatan dan perbelanjaan perniagaan. Keuntungan perniagaan yang
menggalakkan peniaga-peniaga untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan
mereka. Ia juga merupakan pulangan atau ganjaran kepada peniaga-peniaga yang
sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa mereka.
Keuntungan (perniagaan) =
Pendapatan - Perbelanjaan
Keuntungan (ekonomi) = Pendapatan –
(Perbelanjaan + Kos Melepas*)
* Kos melepas merupakan kos yang
terpaksa dilepaskan kerana membuat sesuatu pilihan.
1.1.5 Faedah
Faedah juga dikenali sebagai kebaikan
atau kelebihan. Semua pihak yang terlibat dalam perniagaan akan memperolehi
faedah. Misalnya, seorang peniaga yang menjual barangan atau menyediakan
perkhidmatan akan memberi faedah kepada pelanggannya. Pelanggan itu akan
menggunakan barangan atau perkhidmatan yang disediakan untuk kepentingan diri
iaitu mencapai matlamat individu atau organisasi. Pada masa yang sama, peniaga
yang memberi perkhidmatan atau menjual barang akan dibayar oleh pelanggannya.
1.1.6 Kepuasan
Apabila kehendak dan keperluan
seseorang itu dipenuhi, maka dia akan berasa puas hati. Jika tidak, kepuasannya
tidak akan tercapai. Misalnya, barang atau perkhidmatan yang dibeli oleh
seseorang itu dapat memenuhi keperluan dan kehendak pihak pembeli, maka pembeli
akan berasa puashati. Begitu juga dengan penjual barang atau perkhidmatan.
Bayaran yang diperoleh daripada jualan barang atau perkhidmatan dan ia
digunakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak penjual, maka penjual akan
mencapai kepuasan.
1.1.7 Objektif Perniagaan
Keuntungan iaitu perbezaan diantara kos
pengeluaran (perbelanjaan) dan apa yang pelanggan-pelanggan mahu bayar untuk
sesuatu produk (pendapatan) merupakan salah satu asas dalam sistem
ekonomi kapitalis.
Keuntungan
Pada jangka masa panjang, keuntungan
ialah objektif utama untuk kebanyakan organisasi perniagaan sama ada bersaiz
besar atau kecil. Keuntungan merupakan faktor atau daya tarikan kepada
seseorang individu untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan dan peniaga untuk
mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Selain itu, keuntungan boleh menjadi
pengukur prestasi sesebuah organisasi perniagaan, sama ada disifatkan berjaya
atau gagal.
Namun, persepsi atau tanggapan
masyarakat terhadap keuntungan sebagai objektif utama dalam bidang perniagaan
mula berubah. Banyak organisasi perniagaan sanggup berkorban keuntungan pada
jangka masa pendek untuk objektif perniagaan pada jangka masa panjang.
Contohnya, banyak organisasi perniagaan Jepun berjaya bersaing dan memasuki pasaran
Amerika Syarikat kerana mereka sanggup untuk menangguhkan keuntungan pada
peringkat permulaan dengan menawarkan produk yang bermutu dan berharga rendah.
Pada zaman ekonomi berpengetahuan
(k-economy), organisasi perniagaan yang mengutamakan keuntungan semata-mata
sebagai objektif utama sering dikritik malah disangsikan oleh masyarakat umum.
Oleh sebab itu, sebahagian besar organisasi perniagaan hari ini mengubah
pendirian mereka daripada terlalu mengutamakan keuntungan kepada
pertimbangan-pertimbangan yang dapat diterima oleh masyarakat umum seperti
tanggungjawab sosial, kerja-kerja amal dan sebagainya.
Kemandirian (Survival)
Kewujudan sesebuah organisasi
perniagaan baru atau semasa keadaan ekonomi yang tidak stabil, objektif
kemandirian (survival) adalah lebih penting daripada keuntungan. Kemandirian
bertujuan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kewujudan organisasi
perniagaan itu. Organisasi perniagaan harus cuba sedaya upaya untuk menarik
perhatian masyarakat umum tentang kewujudannya. Lazimnya, organisasi perniagaan
mengalami kerugian di peringkat kemandirian tetapi fenomena ini tidak
berkekalan. Pihak peniaga juga harus memastikan bahawa jangka masa kerugian
yang dialami di peringkat kemandirian adalah singkat dan tidak berlarutan. Jika
tidak, kerugian yang dialami itu bertambah dan sukar untuk ditanggung oleh
organisasi perniagaan yang terbabit. Ini akan menggagalkan organisasi
perniagaan pada akhirnya.
Pertumbuhan
Apabila organisasi perniagaan berjaya
memperkenalkan diri dan menyedarkan masyarakat umum tentang kewujudannya, maka
ia harus berusaha untuk mengurangkan kerugian yang dialami di peringkat
kemandirian. Pada masa yang sama, usaha peningkatan keuntungan patut ditekankan
supaya organisasi perniagaan itu bertumbuh dan terus membesar dan berdaya saing
dengan organisasi perniagaan lain sama ada organisasi perniagaan tempatan
ataupun antarabangsa.
Tanggungjawab Sosial
Pada hakikatnya, kemandirian dan
pertumbuhan sesebuag organisasi perniagaan dipengaruhi oleh tahap penerimaan
serta sambutan masyarakat umum terhadap organisasi perniagaan yang berkenaan
dan aktiviti-aktiviti perniagaannya. Oleh itu, organisasi perniagaan itu harus
memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan,
menjual barangan yang baik dan bermutu tinggi, menawarkan perkhidmatan yang
diperlukan oleh masyarakat dengan cekap dan pada kadar atau harga yang
berpatutan, membantu negara untuk mempertingkatkan kedudukan ekonominya.
1.2
Kepentingan Perniagaan
Perniagaan merupakan suatu bidang yang
berpengaruh kepada kehidupan seluruh manusia dan seluruh dunia. Kefahaman
terhadap konsep perniagaan amat penting untuk kehidupan harianseluruh manusia
kerana ia dapat memberi kesan atau impak kepada manusia dalam aspek-aspek
seperti:-
1.2.1 Memenuhi Keperluan
Masyarakat
Perniagaan dapat memenuhi keperluan
masyarakat. Hasil daripada aktiviti-aktiviti perniagaan, iaitu urusan pembelian
dan penjualan barangan dan perkhidmatan, para peniaga akan memperolehi
keuntungan manakala pihak pembeli dan pengguna pula memiliki barangan dan
perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Contohnya,
penjual air kacang soya di tepi jalan raya akan mendapat keuntungan apabila air
kacang soyanya dibeli oleh pembeli. Pada masa yang sama, pembeli yang membeli dan
meminum air kacang soya itu dapat memenuhi keperluan dan kehendaknya iaitu
menghilangkan dahaga.
1.2.2 Menyediakan Pekerjaan
Kepada Masyarakat
Sebahagian besar masyarakat menyara
kehidupan mereka melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor perniagaan.
Masyarakat boleh bekerja sebagai peniaga atau sebagai pekerja dalam organisasi
perniagaan. Pendapatan yang diterima melalui pekerjaan yang diperolehi daripada
sektor perniagaan dapat menyara malah meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Selain itu, pekerja-pekerja yang
kehilangan pekerjaan dan terdesak semasa berlakunya kemelesetan ekonomi boleh
beralih kepada perniagaan terutamanya perniagaan secara kecil-kecilan sebagai
sumber rezeki yang baru.
1.2.3 Tidak Ditipu
Dalam kehidupan sehari-hari, kefahaman
terhadap konsep perniagaan dapat membantu malah mencegah pengguna terakhir
daripada ditipu oleh para peniaga yang menggunakan teknik-teknik perniagaan
yang berniat serong seperti perniagaan seperti perniagaan jualan murah di
pasaran. Pembeli-pembeli harus bijak dan berhati-hati semasa membeli-belah
barangniaga jualan murah. Bukan semua barangniaga yang ditawarkan jual murah
itu sebenarnya murah. Setengah-setengahnya memang berharga murah dan
setengah-setengah lagi mungkin lebih mahal daripada harga biasa.
1.2.4 Memahami Pergolakan
Perniagaan
Kefahaman terhadap konsep perniagaan
akan dapat membantu dan memudahkan lagi individu ataupun organisasi untuk
memahami dan mengenal pasti sebarang pergolakan perniagaan semasa. Misalnya,
Syarikat A sedang menghadapi masalah kewangan, maka kita boleh mengambil
kesempatan ini untuk memiliki syarikat yang berkenaan dengan membeli
saham-sahamnya atau tidak.
1.2.5 Kehidupan Yang Lebih
Mewah
Masyarakat yang giat berkecimpung dalam
bidang perniagaan akan meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka terutamanya
dalam sistem ekonomi kapitalis atau sistem ekonomi campuran. Pada umumnya,
individu yang berilmu perniagaan dan terlibat dalam bidang perniagaan menikmati
taraf hidup atau kehidupan yang lebih mewah berbanding dengan individu yang
kurang ilmu perniagaan dan kurang terlibat dalam bidang perniagaan.
1.2.6 Meningkatkan
Pembangunan
Dalam usaha untuk menyakin dan menarik
pelaburan daripada pelabur-pelabur sama ada pelabur-pelabur asing ataupun
pelabur-pelabur tempatan, pihak berkuasa akan cuba memperbaiki kemudahan asas
atau infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di sesebuah
tempat. Peningkatan prasarana asas ini secara tidak langsung membawa kesan
kepada pembangunan kawasan dan masyarakat tempatan yang terlibat dalam
perniagaan.
1.2.7 Peluang Global
Masyarakat yang berilmu perniagaan akan
memudahkan negara untuk menceburi dalam perniagaan di peringkat antarabangsa
atau global. Penguasaan ilmu perniagaan membolehkan peniaga-peniaga negara kita
bersaing terutamanya dengan peniaga-peniaga dari negara-negara maju. Kita
memerlukan kemahiran, kepakaran dan lebihan persaingan (competitive edge) yang
tinggi dan berkualiti untuk maju dan menjayakan perniagaan di peringkat
antarabangsa atau global.
1.2
PERSEKITARAN PERNIAGAAN
Persekitaran Perniagaan
Berdasarkan teori system, sesebuah
organisasi perniagaan itu tidak dapat berdikari. Organisasi perniagaan
dikelilingi oleh elemen-elemen persekitaran yang berinteraksi dan mempengaruhi
pembuatan keputusan dan tingkah lakunya. Sebelum para peniaga merancang
strategi perniagaan, mereka perlu mengenali, menganalisa dan memahami keadaan
persekitaran perniagaan terlebih dahulu. Namun, persekitaran perniagaan boleh
ditinjau dari dua perspektif iaitu persekitaran perniagaan dalaman dan
persekitaran perniagaan luaran.
1.3.1 Persekitaran
Tugas (Pihak-pihak Yang Berkepentingan)
Persekitaran perniagaan dalaman
sesebuah organisasi perniagaan terdiri daripada elemen-elemen perniagaan asas
seperti pemilik perniagaan, pelabur, pekerja, pengguna dan pembekal.
Elemen-elemen ini berinteraksi dan mempunyai hubungan langsung dalam
pem,bentukan polisi, prosedur-prosedur dan system sesebuag organisasi
perniagaan.
1.3.1.1 Pemilik
Perniagaan
Pemilik perniagaan juga dikenali
sebagai tuan punya atau towkay perniagaan. Pemilik perniagaan terdiri daripada
individu atau kumpulan-kumpulan individu yang telah menyumbangkan modal dan
memiliki organisasi perniagaan. Pada amnya, pemilik perniagaan yang mengendali
dan menjalankan operasi harian perniagaan. Penglibatan pemilik perniagaan
secara langsung dalam operasi harian pasti akan mempengaruhi perjalanan
perniagaan.
1.3.1.2 Pelabur
Pelabur juga merupakan pemodal
organisasi perniagaan. Pelabur terdiri daripada individu, syarikat, institusi
dan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Setengah-setengah pelabur
menyuntikkan modal yang besar dalam organisasi perniagaan sama ada dalam bentuk
mata wang ataupun teknologi yang tinggi kerana mereka mempunyai kepentingan
dengan perniagaan yang berkenaan. Pelabur demikian akan bergiat dalam
perjalanan perniagaan tersebut. Mereka inginkan pulangan yang baik.
Ada juga pelabur yang menyumbangkan
modal dalam organisasi perniagaan melalui pembelian saham atau syer . Mereka
akan membeli saham organisasi perniagaan apabila harganya rendah dan menjual
apabila harganya meningkat. Pelabur demikian merupakan pemilik organisasi
perniagaan yang pasif. Mereka, pada amnya, tidak terlibat secara aktif dalam
menjalankan perniagaan.
Pelabur menyumbangkan modal dalam
sesebuah organisasi perniagaan bertujuan untuk memperolehi keuntungan. Matlamat
pulangan pelaburan yang telah ditetapkan oleh pelabur nescaya mempengaruhi
keputusan, dasar serta aktiviti-aktiviti perniagaan. Oleh itu, organisasi
perniagaan perlu mengambil tindak-tanduk yang dapat memenuhi kehendak pelabur
jangka masa pendek dan juga pelabur jangka masa panjang.
1.3.1.3 Pekerja
Pekerja merupakan sumber manusia yang
penting dalam sesebuah organisasi perniagaan. Pekerja terlibat secara langsung
dalam operasi perniagaan. Oleh itu, pekerja dibayar gaji dan juga faedah-faedah
lain seperti cuti sakit, cuti tahunan, bonus dan sebagainya, dilindungi oleh
kesatuan sekerja dan juga kerajaan.
Interaksi pekerja dengan perniagaan
perlu diberi perhatian yang rapi. Namun, pengambilan pekerja, hubungan
perindustrian diantara pemilik perniagaan dan kesatuan sekerja serta kerajaan
akan memberi kesan kepada penentuan bentuk sistem, dasar, perancangan strategi
dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan perniagaan.
1.3.1.4 Pengguna
Pengguna merupakan individu, institusi,
firma dan kerajaan yang perlu diberi keutamaan oleh organisasi perniagaan.
Kejayaan sesebuah organisasi perniagaan amat bergantung kepada kepada golongan
pengguna. Permintaan golongan pengguna terhadap barangan atau perkhidmatan atau
kedua-duanya yang disediakan oleh organisasi perniagaan menetapkan sejauh
manakah pencapaian objektif / matlamat organisasi perniagaan iaitu mendapat
keuntungan.
Kehendak atau citarasa pengguna mempengaruhi
keputusan organisasi perniagaan terhadap jenis atau barangniaga yang hendak
ditawarkan di pasaran. Organisasi perniagaan harus sentiasa menilai sama ada
keluarannya dapat memenuhi kehendak pengguna atau tidak. Sekiranya keluaran
yang ditawarkan oleh organisasi perniagaan itu tidak diminati dan tidak
disambut baik oleh pengguna, maka organisasi perniagaan akan menanggung risiko
tidak terjual yang tinggi dan ini pasti merugikannya.
Selain itu, keluaran organisasi
perniagaan perlu mempunyai inovasi, berkreativiti dan berkembang maju supaya
keperluan dan citarasa pengguna selari dengan perkembangan teknologi dunia hari
ini.
1.3.1.5 Pembekal
Pembekal membekalkan bahan yang
diperlukan oleh organisasi perniagaan untuk dijadikan barangniaga yang boleh
dijual dan memenuhi citarasa pengguna. Pembekal sendiri juga peniaga yang
mendapat keuntungan daripada jualan bahannya kepada organisasi perniagaan lain
seperti kedai runcit, pasaraya.
Pembekal sentiasa berinteraksi dengan
organisasi perniagaan. Pada hakikatnya, kedua-duanya saling memerlukan diantara
satu sama lain dalam dunia perniagaan. Interaksi diantara pembekal dan
organisasi perniagaan banyak memberi kesan kepada penetapan corak perjalanan /
operasi dan kemajuan sesebuah organisasi perniagaan. Hubungan baik dengan
pembekal adalah perlu untuk menjamin perjalanan / operasi sesebuah organisasi
perniagaan tidak terganggu dan terus berkembang.
1.3.1.6 Sistem
dan Prosedur
Selain factor-faktor persekitaran
perniagaan dalaman yang telah dibincangkan tadi, semua prosedur dan
sistem organisasi yang diamalkan akan turut mempengaruhi keputusan perniagaan
yang dibuat oleh pihak pengurusan. Keputusan perniagaan yang dibuat berdasarkan
prosedur dan sistem organisasi yang diamalkan akan mengarah organisasi
perniagaan itu ke arah pencapaian matlamatnya.
1.3.2 Persekitaran
Umum
Persekitaran perniagaan luaran terdiri
daripada elemen-elemen yang berinteraksi dan mempengaruhi organisasi perniagaan
secara tidak langsung. Diantaranya elemen-elemen persekitaran perniagaan luaran
ialah persaingan, persekitaran ekonomi, persekitaran teknologi, persekitaran
sosiobudaya, persekitaran politik dan undang-undang, institusi kewangan dan
persekitaran global / antarabangsa.
1.3.2.1 Persaingan
Dalam system ekonomi kapitalis,
organisasi perniagaan sering menghadapi persekitaran persaingan yang dinamik.
Persaing iaitu organisasi perniagaan lain yang mengeluarkan barangniaga atau
perkhidmatan yang sama, boleh menentukan daya tahan dan kreativiti, kemajuan
dan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi perniagaan di dunia perniagaan.
Persaing cuba membaiki produk mereka supaya dapat berdaya saing dengan produk
pengeluar lain malah menguasai pasaran. Contohnya, di bidang automobil Proton
telah berjaya mengeluarkan kereta yang dapat berdaya saing dengan
pengeluar-pengeluar kereta yang lain di Malaysia. Dengan perkataan lain,
persaingan boleh memberi kesan secara tidak langsung kepada perjalanan sesebuah
organisasi perniagaan.
1.3.2.2 Ekonomi
Dalam perancangan organisasi perniagaan
baik jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang, peniaga-peniaga harus
prihatin dan peka kepada perubahan ekonomi. Keadaan ekonomi baik ekonomi
tempatan mahupun ekonomi antarabangsa atau global, banyak berinteraksi dengan organisasi
perniagaan. Ia akan mempengaruhi operasi, prestasi dan dasar sesebuah
organisasi perniagaan. Misalnya, apabila kadar faedah pinjaman asas (Base
Lending Rate [BLR]) bank meningkat, tanggungan pembiayaan pinjaman organisasi
perniagaan turut bertambah. Begitu juga dengan peningkatan kadar inflasi. Kos
pengeluaran akan meningkat apabila kadar inflasi meningkat. Peningkatan kadar
inflasi akan mengakibatkan harga bahan mentah yang diperlukabn daripada
pembekal turut naik. Untuk mempertahankan keuntungan dan meneruskan kewujudan
organisasi perniagaan dengan peningkatan kos yang mendadak dalam pasaran, maka
peniaga terpaksa bertindak sama ada menurunkan kos pengeluaran dan mencari
barangan pengganti bagi bahan-bahan mentah yang digunakan selama ini ataupun menaikkan
harga jualan barangniaga di pasaran. Persekitaran ekonomi yang sering berubah
akan memberi kesan secara langsung serta merumitkan lagi pihak peniaga untuk
menetapkan pengurusan organisasi perniagaannya.
1.3.2.3 Teknologi
Perkembangan teknologi terutamanya
teknologi maklumat yang pesat akan memberi kesan secara langsung kepada
organisasi perniagaan. Perkembangan teknologi banyak membantu perkembangan
organisasi perniagaan. Misalnya, operasi organisasi perniagaan seperti proses
pengeluaran dengan penggunaan mesin berteknologi tinggi dan canggih dapat
mengurangkan kesilapan manusia dan menurunkan kos pengeluaran. Kerja-kerja
pengurusan pejabat seperti merekod, menyediakan Penyata Kewangan dan sebagainya
dikendali dan dipermudahkan dengan penggunaan sistem komputer. Aktiviti
perniagaan iaitu pembelian dan penjualan barangan dan perkhidmatan melalui
perdagangan elektronik atau “e-commerce” dapat mengurangkan belanja dan
masa.
Walaupun perkembangan teknologi membawa
kesan yang positif kepada organisasi perniagaan, tidak dapat dinafikan bahawa
ia juga mendatangkan kesan-kesan negatif atau sampingan seperti peningkatan
kesesakan lalu lintas serta pencemaran udara dan air akibat pembuangan
sisa-sisa toksik, tenaga buruh digantikan oleh mesin, interaksi dengan mesin
berbanding dengan manusia dan sebagainya. Oleh itu, amalan pendekatan yang
seimbang perlu diutamakan. Faedah dan kebaikan daripada penggunaan teknologi
moden dan canggih dipetik. Pada masa yang sama, kesan-kesan sampingan akibat
penggunaan teknologi moden dan canggih itu perlu diminimumkan.
1.3.2.4 Institusi
Kewangan
Organisasi perniagaan tidak dapat
mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan institusi kewangan. Institusi
kewangan merupakan salah satu elemen persekitaran luaran perniagaan yang juga
mempengaruhi organisasi perniagaan. Organisasi perniagaan yang ingin meluaskan
atau mengembangkan lagi aktiviti perniagaannya tetapi tidak mempunyai modal
yang cukup boleh mendapatkan kemudahan pinjaman seperti pinjaman jangka masa
pendek, kemudahan “overdraft” dan sebagainya daripada institusi kewangan. Modal
dapat memberi kesan yang ketara kepada jenis, saiz dan aktiviti-aktiviti
perniagaan yang akan diusahakan.
Apabila dasar institusi kewangan itu
berubah seperti mengurangkan jumlah pemberian kredit, menghadkan pemberian
kredit kepada jenis-jenis perniagaan tertentu, meningkatkan kadar faedah
pinjaman asas (BLR) dan sebagainya, organisasi perniagaan yang membuat pinjaman
terpaksa menanggung peningkatan liabiliti yang signifikan. Misalnya, kenaikan
kadar faedah pinjaman asas secara mendadak semasa kegawatan ekonomi pada tahun
1997 menyebabkan banyak organisasi perniagaan mengalami kemerosotan. Kerajaan
Malaysia terpaksa mengarahkan semua institusi kewangan di Malaysia menurunkan kadar
faedah pinjaman untuk menyelamatkan ekonomi negara Malaysia. Langkah penurunan
kadar faedah pinjaman asas daripada institusi kewangan dapat memberi nafas baru
kepada organisasi perniagaan yang menghadapi masalah kewangan serta pemulihan
semula ekonomi Malaysia.
1.3.2.5 Sosial
dan Budaya
Dalam dunia perniagaan, penilaian
terhadap persekitaran social dan budaya tidak dapat diringankan kerana
masyarakat yang menggunakan barangniaga dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh
organisasi perniagaan mempunyai tahap sensitivity tersendiri. Setiap masyarakat
seperti masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai nilai-nilai etika yang
tersendiri mengikut bangsa dan agama.
Organisasi perniagaan perlu menghormati
perbezaan nilai-nilai etika di kalangan masyarakat. Misalnya, makanan yang
dikeluarkan khas untuk masyarakat beragama Islam di Malaysia diwajibkan
mempamerkan logo “halal” daripada Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kesedaran tentang perbezaan, keinginan untuk mempelajari, mengetahui dan
memahami perbezaan dan persamaan nilai-nilai etika yang diamalkan oleh sesebuah
masyarakat dapat membantu organisasi perniagaan untuk maju dan mengembangkan
perniagaannya sepanjang masa.
1.3.2.6 Persekitaran
Politik dan Undang-undang
Organisasi perniagaan juga harus
prihatin dan peka kepada persekitaran politik dan undang-undang yang telah
ditetapkan oleh kerajaan di tempat ia beroperasi. Perniagaan tidak dapat
dipisahakan daripada kuasa politik. Ia mungkin menyulitkan aktiviti-aktiviti
organisasi perniagaan atau memberi peluang kepada organisasi perniagaan.
Misalnya, untuk melindungi dan mengembangkan industri kereta yang baru,
kerajaan Malaysia sebagai pemegang kuasa politik mengenakan kadar cukai import
yang tinggi terhadap kemasukan barangan seperti komponen dan alat ganti kereta
dari negara luar. Tindakan kerajaan Malaysia ini akan memberi tekanan kepada
pengimport barangan yang berkaitan. Pada masa yang sama, ia juga memberi
kebaikan dan sokongan kepada peniaga tempatan.
Selain itu, undang-undang dan peraturan
yang digubahkan bertujuan menjamin etika perniagaan. Misalnya, undang-undang
jualan langsung (Direct Sale) bertujuan untuk memberi perlindungan kepada para
pembeli dan pengguan terakhir. Persekitaran politik yang stabil dan undang-undang
yang sempurna membolehkan oragnisasi perniagaan terus beroperasi dan
berkembang.
1.3.2.7 Global
/ Persekitaran Antarabangsa
Pada era globalisasi, operasi
perniagaan tidak lagi terhad kepada persekitaran luaran setempat. Para peniaga tempatan
harus bersedia dan menyusun strategi dan merancang perniagaannya supaya
benar-benar berdaya saing dengan peniaga-peniaga antarabangsa. Keadaan politik,
ekonomi dan perkembangan teknologi semasa di negara-negara asing banyak
berinteraksi dan memberi kesan yang signifikan kepada perjalanan perniagaan di
negara tempatan. Misalnya, kegawatan ekonomi yang berlaku di Malaysia pada
tahun 1997 telah menjejaskan sedikit sebanyak negara-negara barat yang
mengeksport industri pendidikan mereka. Kerajaan Malaysia telah mengambil
keputusan untuk membekukan penghantaran pelajar-pelajar untuk melanjutkan
pelajaran mereka ke luar negara. Tindakan kerajaan Malaysia sedemikian secara
tidak langsung memaksa banyak institusi pengajian tinggi luar negara untuk
menawarkan biasiswa atau mengurangkan yuran pengajian kepada pelajar-pelajar
Malaysia yang melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara.
1.3
ENTITI PERNIAGAAN
Pengenalan Entiti Perniagaan
Tiada usahawan dapat menafikan bahawa
cabaran perniagaan semakin bertambah di alaf baru ini. Perniagaan merangkumi
semua aktiviti dan usaha yang menyediakan barangan dan perkhidmatan yang perlu
untuk sesuatu sistem ekonomi (M.B. Muda et. al., m.s 3)
Kejayaan sesuatu perniagaan amat
dipengaruhi oleh jenis entiti yang dipilih oleh seseorang peniaga. Malangnya,
kebanyakan peniaga tidak begitu sedar dan faham tentang kepentingan entiti
perniagaan yang tepat atau betul.
(a )
Pengertian Entiti Perniagaan
Entiti perniagaan merupakan satu badan
perniagaan yang mempunyai fungsi tersendiri (M.B. Muda et.al., m.s 28). Oleh
itu, perniagaan boleh dikelaskan berdasarkan bentuk pemilikan perniagaan,
aktiviti perniagaan yang dijalankan, sektor industri di mana perniagaan itu
beroperasi, jenis keluaran yang diterbit dan dipasarkan dan juga peringkat
perniagaan dalam aliran industri.
Sebelum bentuk-bentuk perniagaan
diterangkan dengan lebih lanjut, lebih baik beberapa konsep asas perniagaan
difahami dahulu. Antaranya ialah :-
i. Konsep
Liabiliti Perniagaan
Usahawan-usahawan yang menceburi diri
dalam bidang perniagaan sering menghadapi pelbagai risiko terutamanya syarikat
perniagaan yang mempunyai liabiliti tidak terhad. Liabiliti perniagaan adalah
tanggungan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh perniagaan mulai sekarang (tempoh
semasa) hingga pada masa hadapan sebelum liabiliti tersebut dijelaskan pada
jangka masa yang telah ditetapkan (Zumilah Zainalaludin, m.s 31). Pada
dasarnya, liabilti perniagaan dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu
liabiliti terhad dan liabiliti tidak terhad.
Liabiliti terhad merupakan tanggungan
perniagaan yang terhad kepada jumlah pelaburan yang telah dilaburkan dalam
perniagaan yang berkenaan. Sekiranya pemilik perniagaan tidak mampu menjelaskan
segala tanggungan perniagaan apabila perniagaannya gulung tikar (gagal), maka
aset peribadi pemilik perniagaan tidak akan terlibat langsung dalam melunaskan
tanggungan perniagaannya. Ini bermaksud pemilik perniagaan yang berliabiliti
terhad hanya akan kehilangan jumlah modal yang dilaburkan dalam perniagaan
sahaja bagi tujuan melunaskan liabititi perniagaan tadi. Perniagaan sendirian,
perniagaan awam ataupun perniagaan perkongsian boleh didaftarkan sebagai
perniagaan berliabiliti terhad. Nama perniagaan sendirian dan perniagaan
perkongsian yang berliabiliti terhad perlu diakhiri dengan perkataan “Sdn.
Bhd.” atau “Bhd.” Contoh: Addison Wesley Longman Bhd. Perniagaan awam pula
perlu menunjukkan perkataan “PLC” pada hujung nama perniagaan. Contoh : Olympia
Plc., Tanjong Plc.
Pemilik perniagaan yang berliabiliti
tidak terhad perlu melibatkan asset peribadi dalam melunaskan tanggungan
perniagaan sekiranya perniagaannya mengalami sesuatu yang malang. Ini bermakna
tanggungan perniagaan tidak terhad kepada jumlah pelaburan yang pemilik
laburkan pada perniagaan yang berkenaan. Contoh: Syarikat Hazami, Kedai Runcit
Cheong Fatt.
ii. Konsep
Sendirian dan Awam
Negara-negara yang mengamalkan system
ekonomi campuran seperti Malaysia dan Britain mempunyai perniagaan sendirian
dan juga perniagaan awam.
Perniagaan sendirian (private
enterprise) merujuk kepada perniagaan yang dimiliki dan diusahakan oleh
individu-individu tertentu (some of the public) yang biasanya bermatlamatkan
keuntungan. Entiti perniagaan sendirian menjalankan berbagai-bagai aktiviti perniagaan.
Syarikat-syarikat perniagaan dan korporat adalah entiti perniagaan yang
tergolong dalam kategori ini. Contoh : Kedai Gunting XYZ, Public Bank Berhad.
Perniagaan awam (public enterprise)
pula merujuk kepada entiti perniagaan yang dimiliki oleh Negara (all of the
public). Perniagaan awam ditadbir oleh kerajaan pusat ataupun kerajaan
tempatan. Perniagaan awam lazimnya berfungsi sebagai agen pelaksana dasar-dasar
awam kerajaan dan matlamatnya ialah semata-mata matlamat sosial. Contoh:
Jabatan Pengangkutan Jalan, Perbadanan Kemajuan Negeri.
2.2 Bentuk-bentuk
Pemilikan Perniagaan
Salah satu asas untuk mengelaskan
sesuatu perniagaan ialah pemilikan perniagaan itu sendiri. Pemilikan perniagaan
melihat perspektif pemilik atau tuan punya perniagaan. Terdapat empat bentuk
pemilikan perniagaan iaitu pemilikan tunggal (sole proprietor), perkongsian
(partnerships), syarikat / korporat dan koperasi. Setiap bentuk pemilikan
perniagaan yang tersebut tadi mempunyai ciri-ciri, kelebihan dan kelemahan
tersendiri.
(a) Pemilikan
Tunggal (Sole Proprietor / Trader)
Bentuk perniagaan ini seperti kedai
runcit, pasar mini, warung paling banyak terdapat di Negara kita, Malaysia.
Ciri-ciri utama bentuk perniagaan ini ialah:
i.
Dimiliki oleh seorang pemilik sahaja. Pemilik berperanan sebagai pengurus dan
pekerja perniagaan. Kadang-kala pemilik perniagaan dibantu oleh ahli keluarga
ataupun satu atau dua orang pembantu yang digaji.
ii.
Modal perniagaan disumbangkan oleh pemilik sendiri daripada hasil tabungan atau
pinjaman daripada keluarga.
iii.
Pemilik perniagaan ini mesti mendaftarkan perniagaannya dengan Pejabat
Pendaftar Perniagaan. Pendaftaran perniagaan boleh dibuat dengan menggunakan
nama pemilik seperti Kedai Runcit Ahmad Kamal ataupun nama perniagaan seperti
Pasar Mini Pongsu Seribu.
iv.
Pemilikan tunggal merupakan sejenis perniagaan yang menjual satu jenis produk
atau perkhidmatan yang tidak memerlukan modal yang besar.
Kelebihan Pemilikan Tunggal
i.
mudah ditubuhkan, dikembangkan dan dibubarkan.
ii.
kos penubuhan dan kos overhed perniagaan rendah.
iii.
pemilik perniagaan bebas untuk mengurus, mengawal dan membuat keputusan
perniagaan
iv.
pemilik perniagaan mendapat kepuasan yang lebih kerana segala untung dan rugi
menjadi tanggungannya, memberi layanan secara peribadi kepada pelanggan.
v.
cukai pendapatan secara perseorangan dan akaun perniagaan tidak perlu diaudit
semasa dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kelemahan Pemilikan Tunggal
Perniagaan pemilikan tunggal juga
mempunyai beberapa kelemahan. Antara kelemahan-kelemahannya ialah :
i.
aset peribadi pemilik perniagaan berisiko tinggi kerana bentuk perniagaan ini
berliabiliti tidak terhad.
ii.
modal, idea dan kemahiran pengurusan pemilik perniagaan yang terhad menyukarkan
pengembangan perniagaan.
iii.
masa kerja pemilik perniagaan panjang dan tidak bebas untuk bercuti panjang.
(b) Perkongsian
(Partnerships)
Perniagaan
perkongsian merupakan lanjutan daripada perniagaan tunggal. Bentuk perniagaan
ini dibentuk secara gabungan dan diusahakan oleh dua orang atau lebih dengan
matlamat memperoleh keuntungan. Pemilik-pemiliknya dikenali sebagai rakan
kongsi perniagaan. Terdapat beberapa jenis rakan kongsi perniagaan. Antaranya
ialah:
i.
Rakan Kongsi Umum
·
mempunyai
liabiliti yang tidak terhad
·
sangat
aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
·
menyumbangkan
modal
ii.
Rakan Kongsi Terhad
·
mempunyai
liabiliti terhad
·
tidak
aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
·
menyumbangkan
modal
iii.
Rakan Kongsi Lelap / Tidur (Sleeping Partners)
·
menyumbangkan
modal
·
berhak
menerima keuntungan
·
tidak
aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
iv.
Rakan Kongsi Nominal
·
tidak
menyumbangkan modal
·
membenarkan
nama digunakan
·
orang
yang berpengaruh / mempunyai tahap kredibiliti yang tinggi
·
turut
menanggung segala liabiliti perkongsian
Ciri-ciri Bentuk Perniagaan Perkongsian
i.
Jumlah modal yang disumbangkan oleh rakan-rakan kongsi berasaskan syarat-syarat
/ persetujuan yang termaktub dalam perjanjian bertulis yang dikenali sebagai
Artikel Perkongsian (Articles of Partnership).
ii.
Jumlah keuntungan diagihkan kepada semua rakan kongsi perniagaan berdasarkan
syarat-syarat / modal yang telah dinyatakan dalam Artikel Perkongsian.
iii.
Sekurang-kurangnya dua orang pemilik tetapi tidak melebihi 20 orang bagi
perniagaan biasa, 10 orang bagi bank, bilangan rakan kongsi tidak terhad bagi
bidang professional.
iv.
Didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB). Boleh mendaftarkan
perniagaan perkongsian dengan menggunakan nama perniagaan atau nama rakan-rakan
kongsi.
v.
Liabiliti perniagaan tidak terhad kecuali bagi pekongsi berhad.
vi.
Aktiviti operasian perniagaan diuruskan oleh rakan kongsi yang aktif. Sebagai
balasan, rakan kongsi berkenaan dibayar gaji / elaun mengikut syarat-syarat
perjanjian.
vii.
Perniagaan perkongsian tidak dikenakan cukai perniagaan. Rakan-rakan kongsi
perlu membayar cukai pendapatan perseorangan.
Kelebihan Perniagaan Perkongsian
i.
Mudah ditubuhkan. Perniagaan perkongsian merupakan lanjutan daripada perniagaan
secara pemilikan tunggal. Oleh itu, prosedur untuk menubuhkan perniagaan
perkongsian tidak banyak perbezaannya berbanding dengan perniagaan secara
pemilikan tunggal.
ii.
Penggabungan banyak idea terutamanya pada peringkat awal penubuhan perniagaan
perkongsian. Keupayaan berfikir daripada idea rakan kongsi yang banyak dapat
memberi kelebihan keyakinan kepada perniagaan perkongsian untuk berhadapan
dengan pesaing-pesaing yang sedia ada dalam pasaran.
iii.
Dapat menggemblengkan tenaga, kemahiran dan kepakaran yang berlainan.
Perbincangan dan pengkhususan boleh dilakukan antara rakan-rakan kongsi.
iv.
Mudah mendapatkan sumber kewangan terutamanya daripada institusi kewangan.
Pihak bank atau syarikat kewangan (Finance) mempercayai bahawa rakan kongsi
yang ramai memudahkan perniagaan perkongsian untuk melangsaikan obligasinya.
v.
Dapat mengembangkan kemampuan perniagaan. Dengan modal yang mencukupi hasil
daripada sumbangan ekuiti rakan kongsi, perniagaan perkongsian dapat merebut
peluang perniagaan serta memajukan perniagaannya dengan mudah.
vi.
Perniagaan perkongsian tidak dikenakan
cukai perniagaan. Berdasarkan keuntungan yang diterima, rakan kongsi perniagaan
perkongsian masing-masing diwajibkan oleh undang-undang untuk menjelaskan cukai
pendapatan perseorangan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Kelemahan Perniagaan Perkongsian
i.
Liabiliti / Tanggungan yang tidak terhad. Semua rakan kongsi perniagaan
perkongsian berliabiliti tidak terhad kecuali pekongsi-pekongsi berhad. Ini
bermakna sekiranya perniagaan perkongsian itu terpaksa menggulung tikar, pihak
pemiutang boleh menuntut hutangnya daripada aset peribadi rakan kongsi
perniagaan itu.
ii.
Mudah berlaku konflik atau salah faham. Rakan kongsi yang ramai mudah
mempengaruhi pembuatan keputusan. Pendapat dan karenah rakan kongsi yang
berbeza-beza sering kali menjadi punca perselisihan faham atau pertelingkahan.
Masalah ini akan menjejaskan keharmonian di kalangan rakan kongsi perniagaan
itu.
iii.
Kewujudan perniagaan perkongsian tidak kekal. Sekiranya seorang rakan kongsi
menarik diri daripada perniagaan perkongsian, meninggal dunia, tidak siuman
atau diisytiharkan sebagai muflis, maka perkongsian itu dengan sendirinya
terbubar. Jika rakan-rakan kongsi yang lain ingin meneruskan perniagaan
perkongsian itu, mereka perlu mendaftarkan semula perniagaan perkongsian itu
dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB).
iv.
Pemilikan perniagaan sukar untuk dipindahkan. Berdasarkan undang-undang
perniagaan, hasrat seseorang rakan kongsi untuk memindahkan pemilikan
perniagaannya perlu, terlebih dahulu, mendapatkan persetujuan daripada rakan-rakan
kongsi perniagaan yang lain. Jika tidak, pemindahan pemilikan perniagaan itu
adalah tidak sah.
(c)
Perbadanan Korporat
Perbadanan korporat merupakan suatu
bentuk perniagaan yang ditubuhkan dibawah kuasa undang-undang (Akta Syarikat)
dan didaftarkan melalui Pendaftar Syarikat. Ini bermakna perbadanan korporat
yang berdaftar boleh menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan, memiliki atau
menjual harta, meminjam wang, mengambil dan diambil tindakan oleh mahkamah dan
membuat sebarang perjanjian dengan sebarang organisasi (Zumilah Zainalaludin,
1999, m.s 40).
Ciri-ciri Bentuk Perbadanan Korporat
Terdapat tiga jenis perniagaan secara
perbadanan korporat iaitu syarikat sendirian (swasta), syarikat awam, dan badan
berkanun. Selain itu, perbadanan korporat juga boleh dikelaskan kepada syarikat
berhad atau syarikat tidak berhad. Syarikat berhad, tidak kira syarikat
sendirian (swasta) atau syarikat awam, dibahagikan kepada syarikat berhad
dengan jaminan, syarikat berhad dengan saham dan syarikat berhad dengan jaminan
dan saham.
i.
Syarikat Sendirian Berhad (Swasta)
·
Syarikat-syarikat
sendirian berhad boleh dikenali dengan mudah. Tiap-tiap nama syarikat sendirian
berhad diakhiri dengan perkataan sendirian berhad atau Sdn. Bhd.
·
Pemilik
atau pemegang saham syarikat sendirian berhad terdiri daripada 2 hingga 50
orang. Semua pemilik perniagaan berliabiliti terhad.
·
Pemilik
/ pemegang saham syarikat sendirian berhad yang menyumbang modal perniagaan.
Mereka dilarang sama sekali untuk mengutip modal daripada orang awam.
·
Saham
syarikat sendirian berhad boleh dijual beli tetapi tidak dilakukan secara
terbuka di pasaran.
·
Pemegang
saham yang memiliki 51% atau lebih daripada jumlah saham biasa syarikat
sendirian berhad, berhak untuk mengawal syarikat sendirian berkenaan.
ii.
Syarikat Awam Berhad
·
Syarikat
awam berhad boleh dikenali melalui perkataan “Berhad” / Bhd. Di hujung nama
syarikat berkenaan. Terdapat dua jenis syarikat awam berhad iaitu yang
tersenarai di bursa saham seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan syarikat
awam tidak tersenarai.
·
Modal
syarikat awam berhad dikumpulkan melalui penjualan saham dan bon kepada orang
awam.
·
Pemegang
saham syarikat awam berhad bebas menjual dan membeli saham di pasaran saham
(BSKL). Ini bermakna pemindahan saham syarikat tidak perlu mendapat persetujuan
pemegang-pemegang saham lain dalam syarikat.
·
Bilangan
minimum pemegang saham adalah 2 orang dan boleh melebihi 50 orang. Jumlah
pemegang saham itu bergantung kepada jumlah saham yang dipegang oleh ahli-ahli
syarikat dan jenis saham yang diterbitkan.
·
Pemilik
perniagaan ini berliabiliti terhad terhadap jumlah modal yang dilaburkan dalam
perniagaan.
iii.
Syarikat Awam Berhad Dengan Jaminan
·
Dimiliki
oleh ramai pemilik seperti persatuan-persatuan.
·
Tidak
bermotifkan keuntungan, hanya bertujuan untuk menjaga kebajikan para pelabur
perniagaan.
·
Dijamin
oleh kerajaan atau agensi kerajaan.
iv.
Badan-badan Berkanun
·
Ditubuhkan
oleh pihak kerajaan yang bertujuan untuk membangunkan sesuatu industri atau
menjaga kepentingan rakyat jelata.
·
Dibentuk
di bawah Akta Parlimen.
·
Badan-badan
berkanun yang menjalankan perniagaan seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi
Negeri, FELDA, Lembaga Pertubuhan Ladang dikenali sebagai perusahaan awam.
·
Beberapa badan berkanun di Malaysia
telah diswastakan melalui Dasar Penswastaan dan Persyarikatan mulai tahun-tahun
1980-an. Antaranya, Sistem Telekom Malaysia, MAS, Tenaga Elektrik Nasional,
Perkhidmatan Pos, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Universiti Malaya (UM) dan
sebagainya. Saham-saham badan-badan berkanun berkenaaan telah dijual kepada
masyarakat umum.
Kelebihan Perniagaan Perbadanan
Korporat
·
Liabiliti
pemilik terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan.
·
Status
perundangan jelas dan perlu dipatuhi dengan tepat. Pemegang-pemegang saham
dilindungi oleh undang-undang.
·
Modal
yang besar memudahkan perniagaan berkembang.
·
Bentuk
perniagaan secara perbadanan korporat lebih stabil kerana ia entiti berasingan
dengan pemilik perniagaan.
·
Pengurusan
perniagaan secara perbadanan korporat lebih efisyen kerana ia duruskan oleh
kumpulan pengurusan professional.
Kelemahan Perniagaan Perbadanan
Korporat
·
Operasi
perbadanan korporat dikawal oleh undang-undang yang ketat.
·
Pengurusan
perbadanan korporat dikawal oleh lembaga pengarah dan bukan pemilik perniagaan.
Pengurusan dan pemilik perniagaan khususnya syarikat awam dipisahkan.
Pembaziran dan salah guna kuasa mungkin dan mudah berlaku.
·
Cukai
yang dikenakan ke atas perbadanan korporat adalah lebih tinggi berbanding
dengan lain-lain bentuk perniagaan. Cukai-cukai itu terdiri daripada cukai ke
atas keuntungan syarikat yang belum diagihkan dan cukai ke atas dividen yang
diperolehi oleh tiap-tiap pemegang saham.
·
Laporan
kewangan syarikat perlu diaudit oleh juruaudit bertauliah sebelum diedarkan
kepada pemegang-pemegang saham.
·
Laporan
tahunan perbadanan korporat perlu dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat dan
pemegang-pemegang saham
·
Proses
penubuhan dan pendaftaran perbadanan korporat lebih sukar dan kompleks
berbanding perniagaan secara pemilikan tunggal dan perkongsian.
(d) Koperasi
Koperasi merupakan suatu entiti
perniagaan yang ditubuhkan secara sukarela untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya
berdasarkan konsep kerjasama dan semangat tolong-menolong. Terdapat dua bentuk
koperasi, iaitu koperasi yang keahliannya terhad kepada sesuatu jenis
pekerjaan, kawasan dan latar belakang seperti Koperasi Guru-guru Semenanjung
Malaysia, Koperasi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) dan
koperasi yang keahliannya adalah bebas seperti Koperasi Perumahan, Koperasi
Pengguna.
Ciri-ciri Koperasi
i.
Modal koperasi diperolehi melalui yuran sama ada yuran bulanan ataupun yuran
tahunan yang dibayar dan saham-saham yang dibeli oleh ahli-ahlinya.
ii.
Tiap-tiap ahli koperasi diwajibkan membeli sekurang-kurangnya 100 unit saham
tetapi tidak melebihi satu perlima daripada jumlah modal koperasi.
iii.
Tiap-tiap ahli koperasi mempunyai hanya satu undi dalam sebarang perlantikan
jawatan koperasi.
iv.
Koperasi diurus dan ditadbirkan oleh ahli lembaga pengarah yang dilantik oleh
ahli-ahli koperasi semasa Mesyuarat Agung Tahunan.
v.
Pengurusan harian koperasi dikendalikan oleh jawatankuasa pengurusan yang
dilantik oleh Lembaga Pengarah Koperasi.
vi.
Koperasi wajib didaftarkan dengan Jabatan Pembangunan Koperasi.
vii.
Keuntungan koperasi diagihkan kepada ahli, sama ada satu kali atau dua kali
setahun, dalam bentuk dividen atau bonus atau kedua-duanya.
Kelebihan Koperasi
i.
Mengutamakan kebajikan dan kepentingan ahli dan bukan hanya mencari keuntungan.
ii.
Menggemblengkan tenaga, modal dan mengumpul orang yang berminat untuk
meningkatkan kedudukan ekonomi masing-masing melalui konsep kerjasama.
Kelemahan Koperasi
i.
Aktiviti koperasi dikuasai oleh ahli-ahli lembaga pengarah kerana ahli-ahli
koperasi kurang aktif.
ii.
Operasi koperasi dikawal rapi oleh Jabatan Pembangunan Koperasi. Jika koperasi
tidak mematuhi peraturan operasi, pihak pendaftar Jabatan Pembangunan Koperasi
(JPK) berhak untuk menutup operasi koperasi berasaskan kuasa yang ada padanya.
iii.
Laporan kewangan koperasi perlu diaudit oleh juruaudit dalaman dan juga
juruaudit luaran yang bertauliah.
iv.
Mesyuarat agung tahunan yang dihadiri oleh ramai ahli mungkin boleh menggugat
sistem pengurusan koperasi.
(e)
Usahasama (Joint Venture)
Usahasama merupakan suatu jenis
perniagaan perkongsian yang bersifat sementara untuk tujuan menyempurnakan
sesuatu kerja, projek atau tugas khas dalam jangka masa tertentu seperti musim
perayaan.
Apabila kerja, projek atau tugas khas
itu selesai, maka jenis perniagaan perkongsian ini akan dibubarkan. Ini
bermakna bahawa jangka hayat perniagaan secara usahasama bergantung kepada pelaksanaan
sesuatu kerja, projek atau tugas khas.
(f)
Sindiket
Sindiket adalah pertubuhan dua atau
lebih jenis perniagaan yang mengutamakan keuntungan atau sebarang faedah.
Sindiket juga berperanan sebagai persatuan untuk memberi perlindungan ke atas hak
dan kepentingan ahli-ahlinya.
2.3
Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
(a)
Pengenalan
Negara kita, Malaysia, merupakan sebuah
Negara yang amat bertuah kerana kaya dengan sumber bahan mentah. Penerokaan
terhadap sumber bahan mentah telah banyak membantu pembangunan Malaysia, baik
dari segi infrastruktur, tahap ekonomi ataupun kualiti hidup rakyat Malaysia.
Proses transformasi sumber bahan mentah
ternyata melibatkan peningkatan mendadak sektor ekonomi Malaysia, khususnya
pada bidang pembuatan dan pengeluaran barangan. Pertumbuhan dan perkembangan
ekonomi Malaysia yang pesat telah memberi peluang yang lebih meluas kepada
pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS). Penglibatan industri kecil dan
sederhana yang meluas yakin dapat memperkukuhkan struktur asas pembangunan
bidang perindustrian negara. Pada masa yang sama, keseimbangan antara
penglibatan syarikat-syarikat asing dengan usahawan tempatan tercapai.
(b)
Definisi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
Banyak definisi tentang industri kecil
dan sederhana telah dikemukakan oleh individu, penyelidik, ahli akademik,
penggubal dasar, agensi dan institusi. Walau bagaimanapun, di Malaysia, tidak
ada satu definisi yang khusus, rasmi, sah dan diterima secara umum. Menurut
Moha Asri Abdullah (1997), kelemahan ini tidak harus dijadikan halangan kepada
usaha untuk memperakukan definisi industri kecil dan sederhana.
Maka, industri kecil dan sederhana
dirujuk sebagai industri yang beroperasi dengan saiz pekerja yang kurang
daripada 200 orang secara penuh masa (Moha Asri Abdullah, 1997, m.s. 9)
(c )
Kepentingan Perniagaan Kecil dan Sederhana Kepada Negara
Data daripada Jabatan Perangkaan
Malaysia menunjukkan bahawa peratusan daripada jumlah pertumbuhan kilang dalam
sektor perkilangan telah merosot pada pertengahan 90-an. (Misalnya, kadar
pertumbuhan sektor perkilangan pada 1975 ialah 92.4 %, manakala pada 1995,
sektor ini hanya menujukkan pertumbuhan sebanyak 88.9% ).
Namun, penurunan peratusan ini tidak
bermaksud bahawa sumbangan dan peranan industri kecil dan sederhana kepada
pembangunan ekonomi Malaysia telah kurang penting. Penurunan peratusan
ini, sebenarnya, disebabkan oleh sebahagian besar daripada industri kecil dan
sederhana telah berkembang besar dan tidak layak lagi dikategorikan sebagai industri
kecil dan sederhana. Di samping itu, terdapat juga industri kecil dan sederhana
yang terletak di kawasan terpencil dan pedalaman tidak diambil kira dalam
system pembancian.
Sumbangan dan kepentingan industri
kecil dan sederhana di Malaysia secara keseluruhannya dapat dibincangkan dalam
beberapa aspek. Antaranya ialah:
i.
Membuka Peluang Pekerjaan
Penggunaan tenaga buruh secara intensif
dalam teknik pengeluaran industri kecil dan sederhana terus dapat membuka lebih
banyak peluang pekerjaan dalam beberapa fungsi pengeluaran dan operasinya.
Industri kecil dan sederhana lebih cenderung untuk menggunakan tenaga buruh
secara intensif untuk menandingi kos pengeluaran. Masalah modal, teknik dan
teknologi yang canggih untuk barangan tertentu secara kecilan tidak mudah
diperolehi serta kuasa beli yang kecil industri kecil dan sederhana tidak
menggalakkannya mengamalkan modal / kapital secara intensif.
ii.
Tabungan Dalam Ekonomi
Penglibatan industri kecil dan
sederhana dalam ekonomi banyak membantu dalam meningkat tabungan modal negara.
Dapatan kajian tentang operasi industri kecil dan sederhana menunjukkan bahawa
sebahagian besar sumber modal datangnya daripada usahawan sendiri, keluarga
atau rakan. Oleh itu, industri kecil dan sederhana menjadi sumber penting
kepada jumlah tabungan dan simpanan negara. Pada masa yang sama, industri kecil
dan sederhana turut membantu dalam mengurangkan kadar perbelanjaan penduduk dan
seterusnya kadar inflasi.
Seterusnya, industri kecil dan
sederhana juga membeli dan menggunakan mesin peralatan yang mudah atau yang
terpakai dalam usaha menjimatkan aset tetap mereka. Dari segi ekonomi,
penggunaan mesin dan peralatan seperti ini oleh industri kecil dan sederhana
dapat membantu mengurangkan modal dan kos mereka.
Di samping itu, industri kecil dan
sederhana jarang melibatkan penggunaan bahan-bahan mentah impot berbanding
dengan firma-firma besar. Hal ini pula membantu Negara menjimatkan pertukaran
wang asing dan seterusnya dapat menggalakkan pertumbuhan sektor-sektor ekonomi
yang lain.
iii.
Pengagihan Pendapatan
Kepentingan industri kecil dan
sederhana yang seterusnya dapat dilihat dari aspek pengagihan semula pendapatan
di kalangan penduduk. Industri kecil dan sederhana lebih cenderung membayar
gaji, faedah dan menawarkan pekerjaan kepada pekerja-pekerja yang bukan
daripada kalangan yang mahir dan profesional. Penglibatan pengusaha, pemilik
dan pekerja dalam industri kecil dan sederhana boleh membantu merapatkan jurang
pendapatan di kalangan penduduk. Dengan perkataan lain, penglibatan mereka
meningkatkan pendapatan yang lebih ketara di kalangan penduduk.
iv.
Latihan Kepada Pekerja dan Pengusaha
Industri kecil dan sederhana juga
memainkan peranan yang penting dalam melatih pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha.
Peningkatan mereka dalam kemahiran dan pengetahuan secara langsung membantu
mengendalikan selok-belok operasi perniagaan dengan lebih berkesan dan terus
bergantung hidup kepada perniagaan yang berkenaan.
v.
Memperkukuhkan Struktur Asas Industri Negara
Di samping itu, industri kecil dan
sederhana banyak membantu dalam mengembang dan memperkukuhkan struktur asas
ekonomi dan industri negara yang sedia ada. Industri kecil dan sederhana,
sebenarnya, merupakan industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan
kebanyakan syarikat gergasi antarabangsa (MNCs). Penglibatan industri kecil dan
sederhana yang giat dan dalam pelbagai sector membolehkan asas industri yang
mantap dan kukuh dan tidak akan tergugat dan terjejas apabila syarikat gergasi
antarabangsa yang beroperasi di sesuatu negara itu menarik diri daripada
operasi dan pelaburan mereka.
vi.
Memenuhi Citarasa dan Keperluan Penduduk Tempatan
Industri kecil dan sederhana amat
penting dari segi memenuhi citarasa dan keperluan barangan sebahagian besar
penduduk tempatan yang berpendapatan rendah. Industri kecil dan sederhana
dengan penyesuaian mereka kepada intensif tenaga buruh, banyak mengeluar dan
menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang tidak dapat dihasilkan oleh
syarikat bersaiz besar termasuk syarikat gergasi antarabangsa. Contohnya
pengeluaran dan pembuatan barangan makanan, pakaian, perabot, logam, peralatan
getah dan plastik.
(d)
Galakan Kerajaan Untuk Industri Kecil dan Sederhana
Sejak
kebelakangan ini, industri kecil dan sederhana seringkali mendapat perhatian
dan galakan yang meluas daripada banyak pihak terutamanya kerajaan.
Dalam usaha untuk menggalakkan lebih
ramai penduduk terutamanya usahawan Bumiputera berkecimpung dalam industri
kecil dan sederhana, kerajaan Malaysia menerusi agensi-agensinya telah
menyediakan pelbagai galakan dan program sokongan kepada mereka yang berpotensi
dan berminat dalam bidang industri kecil dan sederhana. Antara galakan dan
sokongan yang disediakan oleh kerajaan dapat dibahagikan kepada lima kategori
yang utama, iaitu
i.
bantuan kewangan dan kemudahan kredit
Misalnya, pinjaman daripada Syarikat
Jaminan Kredit (CGC), pinjaman dan kemudahan kredit MARA, pinjaman daripada
Tabung Usahawan Baru, pinjaman daripada Tabung Pemulihan Usahawan, pinjaman dan
kemudahan kredit daripada bank, bank perdagangan, bank saudagar, syarikat
kewangan berlesen dan institusi pembangunan, kemudahan kredit Skim Pembayaran
Kredit Eksport.
ii.
bantuan latihan teknik dan pelajaran vokasional
Perbadanan Daya Produktiviti Negara
(NPC) dan Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC) menyediakan program
pembangunan usahawan dan pengurusan perniagaan.
SMIDEC, Institut Piawai dan
Penyelidikan Industri Malaysia (SIRIM), Institut Penyelidikan Perhutanan
Malaysia (FRIM), Pusat Instruktor dan Latihan Kemahiran Lanjutan (CIAST),
Institut-institut Latihan perindustrian (ILP), Institut kemahiran MARA (IKM),
GIAT MARA menawarkan kursus-kursus teknikal dan kemahiran pekerja jangka
pendek.
iii.
bantuan khidmat nasihat dan konsultasi lanjutan
NPC, SMIDEC, institusi kewangan, SIRIM,
MARDI, MEDEC menawarkan bantuan khidmat nasihat pengurusan dan peningkatan
kawalan kualiti dan perkembangan reka bentuk kepada industri kecil dan
sederhana di Malaysia.
iv.
bantuan pemasaran dan penyelidikan pasaran
MEDEC, NPC, Bank Pembangunan, SMIDEC,
MARA, FAMA menyediakan bantuan pengurusan asas pemasaran yang bertujuan untuk
meningkatkan pasaran barangan keluaran industri kecil dan sederhana.
v.
penyediaan kemudahan infrastruktur
UDA membantu industri kecil dan
sederhana untuk mendapatkan tapak, bangunan dan ruang pejabat yang sesuai di
kawasan Bandar, MARA menyediakan tapak-tapak kilang dan perniagaan kepada
usahawan dan peniaga Bumiputera di Malaysia, MIEL bertanggungjawab untuk
membangunkan estet perindustrian di Malaysia, Taman Teknologi Malaysia, Zon
Perdagangan Bebas (FTZ).
Sehingga ke hari ini hamper 13
kementerian dan hamper 30 agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dan
tidak langsung dalam menawarkan pelbagai jenis program bantuan dan galakan
kerajaan dalam pembangunan industri kecil dan sederhana di Malaysia.
(e)
Perniagaan Huluan dan Hiliran
Entiti perniagaan adalah sesuatu
organisasi yang amat dinamik. Ia sentiasa mengalami perkembangan dan
pertumbuhan. Pertumbuhan entiti perniagaan boleh diukur mengikut peringkat
penggunaan input. Antaranya ialah:
i.
Perniagaan Huluan (Up-stream Business)
Perniagaan pada peringkat huluan
bererti bahawa perniagaan berkenaan melibatkan aktiviti yang berasaskan
sumber-sumber asli / semula jadi seperti bahan galian, tanaman, ternakan dan
sebagainya. Contoh: Syarikat Ayamas yang membekalkan ayam sebagai input untuk
ayam goreng restoran KFC dikatakan menjalankan perniagaan pada peringkat
huluan.
ii.
Perniagaan Hiliran (Down-stream Business)
Perniagaan pada peringkat hiliran
bererti bahawa perniagaan berkenaan melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan
yang dikembangkan daripada perniagaan lain seperti pemprosesan, pembuatan,
pengilangan, perkhidmatan dan sebagainya. Contoh: Restoran KFC, ayam goreng KFC
yang dijual adalah hasil pemprosesan ayam segar yang dibekalkan oleh Syarikat
Ayamas.
Entiti perniagaan juga boleh
dikenalpasti melalui fokus pasaran dan aktiviti pembuatannya iaitu sama ada
domestik (tempatan) ataupun antarabangsa.
iii.
Perniagaan Domestik (Tempatan)
Perniagaan ini hanya beroperasi di
dalam sesebuah negara, bermula dengan pengeluaran dan diikuti dengan pemasaran
dan jualan. Keluaran perniagaan domestik bertujuan untuk memenuhi keperluan
penduduk tempatan. Perniagaan domestik pula banyak menyumbang kepada
pembangunan ekonomi negara dan memperkukuhkan lagi struktur asas industri
negara.
iv.
Perniagaan Antarabangsa
Perniagaan antarabangsa merupakan
perniagaan yang menjalankan operasi perniagaannya di dua atau lebih negara
asing. Operasi perniagaan itu berbentuk sama ada satu hala, dua hala ataupun
pelbagai hala. Perniagaan antarabangsa lazimnya berkembang daripada perniagaan
domestik yang menjalankan aktiviti eksport sama ada di peringkat serantau atau
di peringkat global.
(f)
Tahap Perniagaan Primer, Sekunder dan Tertiar
Perniagaan juga boleh dikategorikan
kepada tahap primer, sekunder atau tertiar.
i.
Tahap Primer
Perniagaan yang menjalankan aktiviti
mengeluarkan barang-barang yang akan digunakan sebagai input untuk pengeluaran
yang seterusnya atau mengeluarkan barang-barang yang boleh digunakan terus oleh
pengguna dikenali sebagai perniagaan tahap primer. Contoh: Industri yang
berasaskan pertanian atau ekstraktif seperti perlombongan galian dan bahan api.
ii.
Tahap Sekunder
Perniagaan tahap sekunder merupakan
perniagaan yang menjalankan aktiviti mengeluarkan barang-barang yang
diterbitkan pada tahap primer kepada barangan siap atau separuh siap yang
diperlukan oleh aktiviti pemprosesan seterusnya. Contoh: Bijih besi ditukarkan
kepada kepingan besi, paip besi dan sebagainya.
iii.
Tahap Tertiar
Perniagaan tahap tertiar terdiri
daripada perniagaan yang menghasilkan barangan yang tidak ketara. Perniagaan
pada peringkat ini lebih tertumpu kepada pemberian perkhidmatan yang terbaik.
Contoh: Perkhidmatan yang ditawarkan oleh doktor, akauntan, bank dan
sebagainya.
2.4
Perniagaan Francais
Perniagaan francais merupakan suatu
pendekatan yang membuka jalan termudah bagi seseorang individu atau syarikat
untuk menceburi dalam bidang perniagaan. Perniagaan francais meliputi semua
jenis perniagaan berangkaian yang memenuhi ciri asas 3S iaitu sistem (system),
pengkhususan (specialization) dan piawaian (standardization). Perniagaan
francais, sebenarnya, telah lama wujud di negara kita, Malaysia. Namun, amalan
perniagaan Malaysia yang berasaskan konsep francais masih tidak menggalakkan.
Ini bermakna peluang untuk maju serta berkembang dalam bidang perniagaan
francais di Malaysia adalah cerah; banyak lagi yang boleh diterokai. Kerajaan
Malaysia telah memainkan peranan yang aktif serta memberi sokongan padu kepada
pembangunan perniagaan ini.
(a)
Definisi Perniagaan Francais
Perniagaan francais boleh ditakrifkan
sebagai suatu pendekatan perniagaan di mana syarikat induk (francaisor) memberi
lesen atau hak kepada individu atau syarikat lain (francaisi) untuk menjalankan
aktiviti perniagaan yang berlandaskan suatu kaedah tertentu, di lokasi atau
kawasan yang ditetapkan dan dalam jangka masa yang ditentukan.
Dengan perkataan lain, perniagaan
francais merupakan suatu bentuk perniagaan yang berkontrak di antara francaisor
dan francaisi yang menggariskan tanggungjawab dan tugas kedua-dua pihak, yang
membenarkan fungsi-fungsi pemasaran produk dipiawai dan diselaraskan tanpa
penduaan dan peniruan (duplication).
(b)
Francaisor dan Francaisi, Hubungan Antara Kedua Pihak
Syarikat
perniagaan / Pemilik francais yang memberi lessen / kebenaran dan hak kepada
individu atau syarikat lain untuk mengeluar dan menjual produknya, menggunakan
jenama atau simbolnya, mengamalkan kaedahnya dan lain-lain yang berkaitan
dengan perniagaan dikenali sebagai francaisor.
Francaisi pula merupakan syarikat atau
individu yang mendapat lesen / kebenaran dan hak untuk mengeluar dan menjual
produk, menggunakan jenama atau simbol, mengamalkan kaedah dan lain-lain yang
berkaitan dengan perniagaan francaisor.
Pihak francaisor dan pihak francaisi
diikat oleh kontrak / perjanjian francais yang telah dipersetujui bersama.
Dengan itu, francaisor mengizinkan francaisi menjalankan perniagaan yang serupa
dengannya dari semua aspek. Sebagai balasan, francaisi perlu membayar royalti
setiap tahun kepada francaisor.
(c ) Kelebihan
dan Kelemahan Perniagaan Francais
Seperti bentuk-bentuk perniagaan yang
telah dibincangkan terlebih dahulu, perniagaan francais tentu sekali memberi
kelebihan dan juga kelemahan kepada kedua-dua pihak yang terlibat iaitu
francaisor dan francaisi. Antaranya:
i.
Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Perniagaan francaisor dapat berkembang
serta bertumbuh dengan pesat kerana sistem pengurusan dan modal perniagaan
cawangan diurus di atas tanggungjawab francaisi. Ini secara tidak langsung
memudahkan pihak francaisor memperluaskan pasaran untuk produknya. Tambahan
bayaran royalti yang tetap, bayaran asas, caj perkhidmatan pengurusan dan
sebagainya akan menambahkan keuntungan perniagaan francaisor.
ii.
Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Francaisi dapat memulakan perniagaan
dengan risiko perniagaan yang rendah. Francaisi berpeluang memperdagangkan
produknya berdasarkan suatu sistem yang lengkap dan terbukti berdaya maju /
keberkesanannya. Contoh: Pihak francaisi akan menggunakan jenama produk, bahan
mentah untuk mengeluarkan produk serta prosedur pengurusan perniagaan
sebagaimana yang telah ditetap dan diamalkan oleh francaisor.
Selain itu, francaisi juga mendapat
bantuan kewangan, khidmat sokongan dan latihan daripada francaisor untuk tujuan
membangunkan struktur pengurusan dan premis perniagaan francaisi.
Disebalik kebaikan tentunya juga
kedapatan kelemahan perniagaan francais yang terpaksa dihadapi oleh pihak
francaisor dan francaisi. Antaranya:
i.
Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Francaisor adalah bertanggungjawab ke
atas kewujudan, perkembangan dan daya saing perniagaan francaisi. Francaisor
perlu memberikan bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi
bukan sekadar di peringkat awal tempoh francaisi memulakan perniagaan, bahkan
untuk seumur hidup perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi.
Apabila francaisi gagal untuk mematuhi
segala prosedur perniagaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor
seperti garis panduan mengenai mutu produk, tentu sekali nilai nama atau
reputasi francaisor akan terjejas.
Pihak francaisor pula mungkin akan
menghadapi kesukaran untuk menangani masalah penipuan seperti bayaran royalti,
bayaran caj perkhidmatan, peniruan dan kebocoran formula produk dan sebagainya
apabila cawangan francais pihak francaisor bertambah dan berkembang pesat.
Kegagalan francaisor menangani masalah sedemikian boleh mengakibatkan
kemusnahan ikatan pemfrancaisan.
ii.
Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Penglibatan serta penerusan pihak
francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan
sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor.
Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan innovasi
francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.
Tambahan, pelaburan modal permulaan
perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif
dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.
Francaisi juga mudah dikhianati oleh
pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat
permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan
francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di
kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan
itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga
dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali
merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan
perniagaannya.